| 0 comments ]

“Sekiranya aku dibenarkan untuk mengambil seorang kekasih selain daripada Tuhanku, nescaya aku akan mengambil Abu Bakr sebagai kekasihku.”

Pemilihan jawatan Khalifah. Abu Bakr, sahabat terdekat Nabi Muhammad SAW, tiada semasa Rasulullah SAW menghembuskan nafas baginda yang terakhir di rumah isteri baginda yang tersayang, Aishah, iaitu anak perempuan Abu Bakr.



Apabila Abu Bakr mengetahui tentang hal kewafatan baginda Rasulullal SAW , Abu Bakr bergegas ke rumah yang dipenuhi dengan kesedihan itu. “Betapa hidupmu dipenuhi rahmat dan betapa tenangnya pemergianmu.” Bisik Abu Bakr sementara dia mengucup pipi kekasih dan pemimpinnya yang tercinta yang tiada bernyawa lagi. Apabila Abu Bakr keluar daripada rumah Rasulullah untuk mengumumkan perkhabaran tersebut, rasa tidak percaya dan sedih yang teramat menyelubungi masyarakat Islam di Madinah. Muhammad SAW adalah pemimpin, penunjuk jalan yang lurus dan penerima wahyu suci yang telah membawa mereka keluar daripada penyembahan berhala dan kegelapan jahiliyyah kepada jalan Allah yang satu. Bagaimana baginda boleh wafat? Sehinggakan Umar, antara sahabat Rasulullah SAW yang paling berani dan paling kuat, menjadi tidak keruan dan menghunuskan pedangnya dan mengancam sesiapa sahaja yang berani mengatakan Nabi Muhammad SAW telah wafat. Abu Bakr dengan lemah lembut menolak Umar ketepi dan menaiki tangga mimbar masjid dan berkata:
“Wahai muslimim muslimat sekalian, sesungguhnya barangsiapa yang menyembah Muhammad, ketahuilah bahawa sesungguhnya Muhammad telah wafat. Tetapi barangsiapa yang menyembah Allah, ketahuilah bahawa sesungguhnya Allah hidup dan tidak akan mati buat selama lamanya.”

Dan kemudian Abu Bakr menyimpulkan pesanannya dengan sepotong ayat daripada Al Quran:
“Muhammad itu tidak lain hanyalah seorang rasul, sungguh telah berlalu sebelumnya beberapa orang rasul. Apakah jika dia wafat atau dibunuh kamu berbalik ke belakang(murtad)?”[3:144] Setelah mendengar kata kata tersebut, mereka menjadi tenang. Rasa kehilangan bertukar kepada keyakinan dan ketenangan. Saat kritikal tersebut telah berlalu. Namun kini masyarakat Muslim terpaksa behadapan dengan masalah yang amat serius; iaitu untuk memilih seorang pemimpin baru. Setelah beberapa kali perbincangan sesama para sahabat Rasulullah SAW, jelas sekali bahawa tiada siapa lagi yang lebih layak untuk memikul tanggungjawab tersebut selain daripada Abu Bakr.

Kehidupan Abu Bakr

Abu Bakr (“Pemilik unta unta”) bukanlah nama sebenarnya. Beliau mendapat gelaran itu kerana kegemarannya menternak unta. Nama sebenar Abu Bakr ialah Abdul Ka’aba (‘Hamba Ka’aba’), yang mana kemudiannya ditukar oleh Rasulullah SAW manjadi Abdullah(‘Hamba Allah’). Nabi Muhammad SAW juga memberi gelaran ‘Siddiq’-‘Yang membenarkan.’

Abu Bakr adalah seorang peniaga yang agak kaya, yang mana sebelum memeluk Islam adalah seorang yang dihormati dikalangan penduduk Mekah. Umur beliau adalah tiga tahun lebih muda daripada Rasulullah SAW dan persamaan semulajadi antaranya dengan Rasulullah SAW membuatkan mereka rapat sejak dari kecil lagi. Beliau terus menjadi sahabat karib Rasullallah SAW sehinggalah ke akhir hayat baginda. Apabila Nabi Muhammad SAW menyerukan Islam kepada sahabat sahabat dan keluarga rapat baginda, Abu Bakr merupakan antara orang yang terawal menyahut seruan tersebut.

Abu Bakr juga merupakan orang yang bertanggungjawab memujuk Uthman RA dan Bilal RA untuk menerima Islam. Abu Bakr juga turut sama merasai zaman awal misi dakwah Rasulullah SAW yang dipenuhi dengan penyeksaan dan penindasan terhadap minoriti orang orang beriman. Akhirnya, apabila Allah memberi kebenaran untuk berhijrah ke Madinah, Abu Bakr adalah antara sahabat yang dipilih oleh Rasulullah SAW untuk menemani baginda dalam perjalanan yang penuh ranjau ke Madinah. Abu Bakr juga turut serta bersama Rasulullah SAW dalam banyak peperangan. Diceritakan pada suatu ketika apabila Rasulullah SAW sedang mengumpulkan perbelanjaan untuk mempertahankan Madinah,Abu Bakr menyerahkan semua hartanya kepada Rasulullah SAW. Rasulullah SAW bertanya “Apa yang kamu tinggalkan untuk keluargamu wahai Abu Bakr?” Beliau menjawab: “Allah dan RasulNya.” Sebelum zaman keislamannya, Abu Bakr telah pun dikenali sebagai seorang yang mempunyai akhlak yang terpuji. Sepanjang hidupnya beliau merupakan seorang yang sensitif terhadap penderitaan orang lain dan pemurah terhadap orang orang fakir miskin. Walaupun beliau adalah seorang peniaga yang kaya, Abu Bakr menjalani kehidupan yang sangat ringkas dan banyak membelanjakan hartanya untuk kebajikan, memerdekakan hamba abdi dan untuk jalan Allah SWT. Beliau kerap kali menghabiskan sebahagian malamnya untuk berdoa dan beribadat kepada Allah SWT. Abu Bakr juga merupakan seorang bapa dan suami yang penuh dengan keceriaan dan kasih sayang terhadap keluarganya.

Abu Bakr sebagai Khalifah Begitulah peribadinya seorang lelaki yang terbeban diatas pundaknya kewajipan sebagai khalifah pada saat dan ketika yang paling rawan dalam sejarah Umat Islam. Setelah berita kewafatan Rasulullah SAW tersebar luas, beberapa khabilah melakukan pemberontakan dan dan bertindak tidak mahu membayar zakat, dengan bertegas berkata bahawa zakat tersebut hanya dibayar kepada Rasulullah SAW. Dalam masa yang sama beberapa orang menyamar dan mengaku sebagai seorang nabi yang diutus selepas nabi Muhammad SAW dan bertindak melancarkan pemberontakan. Umpama menambah garam keatas luka, Empayar Rom dan Empayar Parsi turut sama mengancam kelangsungan hidup Negara Islam Madinah. Dibawah situasi yang sedemikian rupa, ramai daripada sahabat Rasulallah SAW termasuklah Umar RA, menasihati Abu Bakr supaya memberi kelonggaran kepada orang orang yang tidak mahu membayar zakat itu, buat masa yang rawan ini. Khalifah Abu Bakr menolak bulat bulat cadangan itu. Beliau berkeras bahawa syariat Allah tidak boleh di pecah pecahkan, kewajipan zakat sama sahaja denagn kewajipan solat,dan mana mana percubaan untuk meremehkan syariat Allah akan menyebabkan terhakisnya batu asas bagi Islam itu sendiri.

Umar RA dan para sahabat yang lainnya tersentak dan menyedari kesalahan pertimbangan yang telah mereka lakukan. Khabilah khabilah yang memberontak itu melancarkan serangan terhadap Madinah tetapi tentera Muslim telah bersedia menanti. Khalifah Abu Bakr sendiri mengetuai serangan terhadap khabilah khabilah pemberontak tersebut dam menyebabkan tentera musuh terpaksa berundur. Beliau juga bersungguh sungguh dalam memerangai orang yang mengaku sebagai nabi sehingga kemudiannya mereka menyerah dan kembali kepada Islam. Ancaman daripada Emapayar Rom juga telah memuncak sejak dari awal, iaitu sejak zaman Rasulullah SAW lagi. Rasulullah SAW telah pun mempersiapkan sebuah angkatan tentera untuk mengekang situasi tersebut di bawah pimpinan Usamah, iaitu seorang anak kepada seorang hamba yang telah bebas. Bagaimanapun angkatan tentera tersebut tidak meneruskan serangan kerana pada masa itu Rasulullah SAW jatuh sakit. Selepas kewafatan Rasulullah SAW, persoalan timbul sama ada angkatan tentera tersebut perlu di hantar semula untuk menyerang tentera Rom atau perlu tinggal sahaja di Madinah untuk mempertahankannya. Pada saat dan ketika tersebut Abu Bakr sekali lagi menyerlahkan kesungguhannya. Beliau berkata, “Aku akan menghantar tentera Usamah kesana sepertimana yang telah diperintahkan oleh Rasulullah SAW, walaupun tiada sesiapa yang menyokongku.” Arahan terakhir yang diberikan oleh Abu Bakr kepada Usamah adalah sebuah kod etika peperangan yang tiada tolok bandingnya sehinggalah kehari ini. Antara isi arahan tersebut adalah: “Janganlah kamu berpaling daripada medan perang dan janganlah kamu lakukan sesuatu yang melampaui batas. Janganlah kamu membunuh lelaki lelaki dan perempuan perempuan yang tua dan juga kanak kanak. Janganlah kamu merosakkan pohon pohon tamar dan janganlah kamu menebang pohon pohon buah buahan. Janganlah kamu menyembelih mana mana kambing atau lembu atau unta kecuali untuk makanan. Kamu juga akan menemui orang orang yang bertapa di dalam biara biara. Biarkan mereka dan janganlah kamu mengganggu mereka.”

Khalid al Waleed telah dipilih oleh Rasulullah SAW sebagai panglima tentera Islam dalam banyak peperangan. Seorang lelaki yang mempunyai keberanian yang utuh dan seorang pemimpin yang unggul. Kebijaksanaan Khalid al Waleed sebagai panglima tentera terserlah di bawah pimpinan khalifah Abu Bakr. Sepanjang zaman pemerintahan khalifah Abu Bakr, Khalid al Waleed telah membawa kemenangan demi kemenangan untuk tentera Islam dalam kempen penyerangan terhadap tentera Rom. Antara lain, Abu Bakr juga adalah salah seorang daripada sahabat yang bertanggungjawab dalam pengumpulan dan pembukuan ayat ayat Al Quran. Abu Bakr meninggal dunia pada 21 Jamadil Akhir, 13 hijrah bersamaan dengan 23 Ogos 634 masihi, pada usia 63 tahun dan telah disemadikan bersebelahan dengan makam Rasulullah SAW. Zaman pemerintahan Abu Bakr cuma bertahan selama 27 bulan sahaja. Dalam jangka masa yang singkat itu, dengan limpah rahmat dan kurnia Allah SWT, Abu Bakr telah berjaya memperkuatkan dan menyatukan umat Islam dan negara umat Islam, disamping mempertahankan keselamatan umat Islam daripada cengkaman musuh musuh Islam.

0 comments

Post a Comment